20100814

Optimis Menuju Ke Hadapan

Di kala tengahari 3 Ramadhan ini, entah apa yang menggamit saya untuk kembali menjenguk rumah lama saya ini. Terlalu rindu untuk saya menatap wajah blog saya ini.

Nampaknya saya sendiri terasa menyesal kerana telah meninggalkan medan yang terlalu berjasa ini. Malah, saya bertindak melulu apabila memadam semua penulisan saya yang lepas, atas alasan menginginkan sesuatu yang baru.

Namun, barang yang lepas usah dikenang. Saya tidak akan menyesal atas apa yang telah saya lakukan, sebaliknya saya akan terus optimis memandang ke hadapan. Di depan sana masih ada jalan panjang yang perlu saya tempuhi, menuju ke suatu pengakhiran yang diharapkan sempurna. Apa saja keputusan yang telah dibuat, usah langsung kita persoalkan.

Tiada lagi masa untuk mengungkit kisah-kisah lalu. Hanya manusia yang lemah akan meraung dan terus menangis, merintih agar masa yang lalu akan berulang kembali. Sedangkan itu adalah mustahil! Orang yang bijak akan mengutip segala kesilapan lampau, lalu disusun penuh berhati-hati sebagai penunjuk jalan ke arah kejayaan.

Begitu juga apa yang saya hadapi kini. Pernah suatu ketika saya rasa cukup kesal dan asyik menyalahkan diri sendiri, kerana menganggap bahawa saya sudah tersilap langkah. Saya telah membuat satu keputusan yang salah.

Masakan, siapa yang sanggup meninggalkan karier yang agak stabil, semata-mata untuk menceburi bidang yang baru. Biasiswa telah diberikan, dimandat pula dengan suatu pekerjaan, malah tajaan penuh untuk melanjutkan pengajian turut dijanjikan. Tapi saya memilih untuk melarikan diri jauh dari lapangan yang sedia ada. Di sinilah saya berada kini, Kolej Tentera Udara.

Siapa sangka, kehidupan di sini tidak semudah yang disangka. Latihan yang disajikan benar-benar menduga fizikal dan menguji mental. Emosi jadi bercampur-baur, ruhiah acapkali tercabar.

Tiada lagi kenyamanan dari alat penghawa dingin; peluh sudah jadi mandian harian. Tiada lagi santapan yang lazat-lazat; sekadar menjamah apa yang disediakan. Tiada lagi kerehatan; hari-hari dikerah untuk membuat itu dan ini. Tiada lagi ketenangan; tindakan pembetulan atau 'hell' yang dikenakan memang menyakitkan. Tiada lagi kebebasan; asyik saja terperuk di wisma, sekadar mengharap dikurniakan cuti ihsan mahupun outing. Tiada lagi apa yang menyenangkan di sini.

Namun saya percaya, segala kesukaran ini adalah demi membina jiwa-jiwa yang tegar. Tidak didatangkan keselesaan, agar perit-jerih untuk menggapai suatu cita-cita benar-benar dapat dinikmati. Pegawai tentera yang berkaliber sedang dalam pembinaan, maka persiapan yang rapi perlu dikenakan!

Saya yakin, mengorak langkah menuju mercu kejayaan tanpa sebarang mehnah dan dugaan adalah memosankan! Biarkan pengalaman yang mengisi diari kehidupan dipenuhi warna-warni suka dan duka. Barulah kenangan yang datang bertandang boleh mendewasakan empunya diri. Ambillah iktibar dari peristiwa lalu, agar kita mampu untuk mengharungi hari yang mendatang dengan penuh optimis!

Saya tidak akan memandang ke belakang. Sebab saya percaya bahawa apa yang saya miliki kini adalah anugerah dari Allah Ta'ala.

InsyaAllah, saya akan kembali mencoret di sini selagi terdaya. Kerana saya yakin bahawa suatu tinta itu akan mentamsilkan apa yang terkandung di dalam kalbu. Moga-moga apa yang dizahirkan dari isi hati saya ini elok belaka dan bermanfaat buat semua. Saya bersedia untuk kembali beraksi!

Salam hormat dari saya,






Kapt Mohd Dhany bin Mohamad Sarip TUDM

17 Comments:

Danial Izzat Zulbahari said...

wahhh! at last..im waiting for this!

semoga kuat berada di sana wahai Panglima Allah. :)

Dini Syarif said...

Terima kasih adikku Danial :) Semoga kamu juga kuat di sana. InsyaAllah, moga kita akan bertemu lagi kelak!

'Abid Sakina said...

alhamdulillah..terkejut jgk tiba2 blog ni naik atas dlm blogroll (pakcik dhany dah update!) hehe

didoakan semoga terus semangat melangkah..jgn pernah mengenal lelah..krn segala2nya krn lillah..

dimana pun kita berada..kita tetap di bumi Allah.Allah tahu kapt.dhany blh buat perubahan di sana..insyaAllah.hehe

Allahu yubarik fiik, ya jundullah~!:)semangat2!

Nuh Zuleffendi said...

bersemangat dhany!!!!

Beejan said...

Hai kapten..

althaarique said...

Inspiring, teringat di Nilai dulu. antara kata-kata antum adalah 'Buat yang Luar Biasa untuk Mnjadi Luar biasa' Inshallah see you at the top Capten!

Dr MOHAR said...

Berlian asalnya hanyalah setongkol arang. Kemudian ia melalui proses yang amat menyakitkan. Dihangat, didingin beribu-ribu tahun. Dan akhirnya apabila ditemui oleh manusia, ia dianggap batu yang berharga. Ini fitrah alam. Tuan sedang mengalami proses itu untuk menjadi seorang insan yang berharga. Jadikanlah sabar sebagai senjata tuan.

miss hana said...

slamat berpuasa..comel blog awk..do visit my blog also, k..n be my follower.baru je main benda2 ni.saje nak tambah kenalan baru..tq

http://betkidzs@blogspot.com

Amirul said...

Salam.. fuh power dhany! inspiring :)

Jzk

cik orenlili said...

Berkhidmat untuk negara.

Salam Ukhwah daripada saya,
Izyan Liyana
ex-smktm

^^ said...

Ini kali pertama saya membaca blog ini dan satu soalan terus terdetik. Macam mana kamu boleh membuat satu keputusan yang agak berani, to change your life from a law graduate to become a captain in air force?

Dini Syarif said...

Bila dikenang semula, masa yang saya ambil untuk buat keputusan adalah sangat singkat. Dalam masa tiga hari, saya perlu putuskan untuk pergi ke pemilihan atau tidak. Itu pun nama saya sekadar menggantikan calon yang enggan pergi.

Saya termenung. Waktu itu saya beristikharah. Alhamdulillah, hati saya lembut untuk pergi. Dan paling saya bersyukur, Allah Ta'ala permudahkan jalan saya hingga terpilih.

Hidup ini adalah tentang pilihan. Natijah dari pilihan itu tidak terjangka. Tidak ada jalan menuju kegagalan hakiki. Kalau ada pun, gagal yang mampu membuka mata kita untuk berusaha lagi. Jangan mudah mengalah, bertabahlah menongkah risiko.

Juga jangan lupa, doa ke hadrat Ilahi. Di situ ada jawapannya :)

^^ said...

"Jangan mudah mengalah, bertabahlah menongkah risiko."

Sejujurnya saya bersetuju dengan kata2 tersebut. Hidup di dunia ini sebenarnya adalah tentang risiko, a risk in making decisions. Terlampau banyak situasi yang memerlukan kita untuk membuat sesuatu keputusan tanpa kita mengetahui apa yang ada di hadapan sana. Keadaan itu meletakkan kita dalam berisiko.

Sesungguhnya saya juga pernah menghadapi situasi ini apabila saya mengambil keputusan untuk memilih jurusan undang-undang walaupun waktu itu saya sedang mengikuti jurusan tesl yang merupakan minat saya dari dulu lagi. Walaupun undang-undang bukanlah bidang yang begitu dekat di hati saya, dan agak takut kalau2 saya rebah di tengah jalan, saya cabar diri saya untuk mengambil undang-undang sebab saya ingin tahu sejauh mana saya mampu berdiri.

Dan yang paling penting seperti apa yang kamu katakan, berdoa. Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mendengar dan Maha Pemurah. Dan sesungguhnya jugalah Dia tahu mana yang terbaik untuk diri kita.

P/s: 3hari?! Wauuu!

daimpressive said...

Tahniah Dhany boy, hehe. Izin laluan untuk promote.
http://suaraserak.blogspot.com/

MyRainbowDreams said...

Salam Dhany,

Sejujurnya saya tak sangka yang awak pernah lalui 'ujian' ini. Saya sangka hanya saya yang tidak bernasib baik untuk mendapatkan apa yang saya inginkan & 'terpaksa' mengikut apa yang bukan kehendak saya. Tapi Allah Maha Mengetahui. Tidak semua yang kita inginkan tu adalah apa yang kita perlukan. Kekadang apa yang kita perlukan adalah apa yang paling kita tidak inginkan.

Apa-apa pun, semoga awak, saya & kita semua terus tabah dalam menongkah arus kehidupan ini. Semoga hidup kita semua diberkati yang Esa.

*i'm not sure sama ada awak akan baca comment ni atau tidak. but i wish you all the best :)

Unknown said...

follow sukses...d tnggu follow bliknya...:)

Anonymous said...

UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT