20100814

Optimis Menuju Ke Hadapan

Di kala tengahari 3 Ramadhan ini, entah apa yang menggamit saya untuk kembali menjenguk rumah lama saya ini. Terlalu rindu untuk saya menatap wajah blog saya ini.

Nampaknya saya sendiri terasa menyesal kerana telah meninggalkan medan yang terlalu berjasa ini. Malah, saya bertindak melulu apabila memadam semua penulisan saya yang lepas, atas alasan menginginkan sesuatu yang baru.

Namun, barang yang lepas usah dikenang. Saya tidak akan menyesal atas apa yang telah saya lakukan, sebaliknya saya akan terus optimis memandang ke hadapan. Di depan sana masih ada jalan panjang yang perlu saya tempuhi, menuju ke suatu pengakhiran yang diharapkan sempurna. Apa saja keputusan yang telah dibuat, usah langsung kita persoalkan.

Tiada lagi masa untuk mengungkit kisah-kisah lalu. Hanya manusia yang lemah akan meraung dan terus menangis, merintih agar masa yang lalu akan berulang kembali. Sedangkan itu adalah mustahil! Orang yang bijak akan mengutip segala kesilapan lampau, lalu disusun penuh berhati-hati sebagai penunjuk jalan ke arah kejayaan.

Begitu juga apa yang saya hadapi kini. Pernah suatu ketika saya rasa cukup kesal dan asyik menyalahkan diri sendiri, kerana menganggap bahawa saya sudah tersilap langkah. Saya telah membuat satu keputusan yang salah.

Masakan, siapa yang sanggup meninggalkan karier yang agak stabil, semata-mata untuk menceburi bidang yang baru. Biasiswa telah diberikan, dimandat pula dengan suatu pekerjaan, malah tajaan penuh untuk melanjutkan pengajian turut dijanjikan. Tapi saya memilih untuk melarikan diri jauh dari lapangan yang sedia ada. Di sinilah saya berada kini, Kolej Tentera Udara.

Siapa sangka, kehidupan di sini tidak semudah yang disangka. Latihan yang disajikan benar-benar menduga fizikal dan menguji mental. Emosi jadi bercampur-baur, ruhiah acapkali tercabar.

Tiada lagi kenyamanan dari alat penghawa dingin; peluh sudah jadi mandian harian. Tiada lagi santapan yang lazat-lazat; sekadar menjamah apa yang disediakan. Tiada lagi kerehatan; hari-hari dikerah untuk membuat itu dan ini. Tiada lagi ketenangan; tindakan pembetulan atau 'hell' yang dikenakan memang menyakitkan. Tiada lagi kebebasan; asyik saja terperuk di wisma, sekadar mengharap dikurniakan cuti ihsan mahupun outing. Tiada lagi apa yang menyenangkan di sini.

Namun saya percaya, segala kesukaran ini adalah demi membina jiwa-jiwa yang tegar. Tidak didatangkan keselesaan, agar perit-jerih untuk menggapai suatu cita-cita benar-benar dapat dinikmati. Pegawai tentera yang berkaliber sedang dalam pembinaan, maka persiapan yang rapi perlu dikenakan!

Saya yakin, mengorak langkah menuju mercu kejayaan tanpa sebarang mehnah dan dugaan adalah memosankan! Biarkan pengalaman yang mengisi diari kehidupan dipenuhi warna-warni suka dan duka. Barulah kenangan yang datang bertandang boleh mendewasakan empunya diri. Ambillah iktibar dari peristiwa lalu, agar kita mampu untuk mengharungi hari yang mendatang dengan penuh optimis!

Saya tidak akan memandang ke belakang. Sebab saya percaya bahawa apa yang saya miliki kini adalah anugerah dari Allah Ta'ala.

InsyaAllah, saya akan kembali mencoret di sini selagi terdaya. Kerana saya yakin bahawa suatu tinta itu akan mentamsilkan apa yang terkandung di dalam kalbu. Moga-moga apa yang dizahirkan dari isi hati saya ini elok belaka dan bermanfaat buat semua. Saya bersedia untuk kembali beraksi!

Salam hormat dari saya,






Kapt Mohd Dhany bin Mohamad Sarip TUDM

Baca lagi!