20131001

Eh eh. Blog Usang.

Uhuk uhuk.. Ahaaa.. Penuh dengan sawang. Habuk di segenap ceruk menandakan sudah berapa lama blog ini tidak dijenguk. Rupanya catatan terakhir sekitar Ogos 2010. Phew, lebih tiga tahun rupanya blog ini tidak diisi dengan sebarang nukilan, catatan, bebelan ngomelan dan apa saja..

Menulislah, biar Tuhan yang menghakimi. Ya, tiada yang benar melainkan yang benar belaka. Setiap apa yang dinukil itu tidak sekadar habis di sini. Tidak tamat seusai noktah. Bukan macam sinetron Indonesia atau telenovela Venezuela yang pasti ada penghujung ceritanya. Eh.

Kita berbicara tentang amanah. Setiap manusia ini dibekalkan dengan yang tanggungjawab terpikul di pundak. Ya, setiap kita bertanggungjawab terhadap setiap butir kalimah yang dicoret di atas kertas kajang, atau dalam buku 555, atau di atas kanvas putih, atau terpapar di atas skrin dan menjadi tontonan ramai (laaa sangat) sebagaimana di Twitter, Facebook mahupun blog!


Sebab itu kita perlu lebih berhati-hati. Sebab kelak di akhirat, siapa yang sanggup menanggung dosa-dosa natijah dari penulisan yang berunsur fitnah, gosip, cerita panas, cerita aib, caci maki, serang sana serang sini.

Bhai, kalau mahu bergaduh jangan jadi wira papan kunci yang menulis dengan hentam semberono. Tetapi luahkanlah idea itu dengan berdalilkan fakta-fakta yang terbukti akan kebenarannya, Bukan hanya cerita panas yang cukup sekadar untuk membakar perasaan. Banyak lagi kerja lain der..

Ingat! Kita menulis kerana Tuhan. Kerana Tuhan akan membalas atas segala yang kita niatkan dan kita tuliskan. Harapnya ini adalah suatu permulaan yang baik dan kelak berakhir dengan baik. Insya-Allah.

Sila ucap selamat pulang kepada saya. Whoa! 

Baca lagi!

20100814

Optimis Menuju Ke Hadapan

Di kala tengahari 3 Ramadhan ini, entah apa yang menggamit saya untuk kembali menjenguk rumah lama saya ini. Terlalu rindu untuk saya menatap wajah blog saya ini.

Nampaknya saya sendiri terasa menyesal kerana telah meninggalkan medan yang terlalu berjasa ini. Malah, saya bertindak melulu apabila memadam semua penulisan saya yang lepas, atas alasan menginginkan sesuatu yang baru.

Namun, barang yang lepas usah dikenang. Saya tidak akan menyesal atas apa yang telah saya lakukan, sebaliknya saya akan terus optimis memandang ke hadapan. Di depan sana masih ada jalan panjang yang perlu saya tempuhi, menuju ke suatu pengakhiran yang diharapkan sempurna. Apa saja keputusan yang telah dibuat, usah langsung kita persoalkan.

Tiada lagi masa untuk mengungkit kisah-kisah lalu. Hanya manusia yang lemah akan meraung dan terus menangis, merintih agar masa yang lalu akan berulang kembali. Sedangkan itu adalah mustahil! Orang yang bijak akan mengutip segala kesilapan lampau, lalu disusun penuh berhati-hati sebagai penunjuk jalan ke arah kejayaan.

Begitu juga apa yang saya hadapi kini. Pernah suatu ketika saya rasa cukup kesal dan asyik menyalahkan diri sendiri, kerana menganggap bahawa saya sudah tersilap langkah. Saya telah membuat satu keputusan yang salah.

Masakan, siapa yang sanggup meninggalkan karier yang agak stabil, semata-mata untuk menceburi bidang yang baru. Biasiswa telah diberikan, dimandat pula dengan suatu pekerjaan, malah tajaan penuh untuk melanjutkan pengajian turut dijanjikan. Tapi saya memilih untuk melarikan diri jauh dari lapangan yang sedia ada. Di sinilah saya berada kini, Kolej Tentera Udara.

Siapa sangka, kehidupan di sini tidak semudah yang disangka. Latihan yang disajikan benar-benar menduga fizikal dan menguji mental. Emosi jadi bercampur-baur, ruhiah acapkali tercabar.

Tiada lagi kenyamanan dari alat penghawa dingin; peluh sudah jadi mandian harian. Tiada lagi santapan yang lazat-lazat; sekadar menjamah apa yang disediakan. Tiada lagi kerehatan; hari-hari dikerah untuk membuat itu dan ini. Tiada lagi ketenangan; tindakan pembetulan atau 'hell' yang dikenakan memang menyakitkan. Tiada lagi kebebasan; asyik saja terperuk di wisma, sekadar mengharap dikurniakan cuti ihsan mahupun outing. Tiada lagi apa yang menyenangkan di sini.

Namun saya percaya, segala kesukaran ini adalah demi membina jiwa-jiwa yang tegar. Tidak didatangkan keselesaan, agar perit-jerih untuk menggapai suatu cita-cita benar-benar dapat dinikmati. Pegawai tentera yang berkaliber sedang dalam pembinaan, maka persiapan yang rapi perlu dikenakan!

Saya yakin, mengorak langkah menuju mercu kejayaan tanpa sebarang mehnah dan dugaan adalah memosankan! Biarkan pengalaman yang mengisi diari kehidupan dipenuhi warna-warni suka dan duka. Barulah kenangan yang datang bertandang boleh mendewasakan empunya diri. Ambillah iktibar dari peristiwa lalu, agar kita mampu untuk mengharungi hari yang mendatang dengan penuh optimis!

Saya tidak akan memandang ke belakang. Sebab saya percaya bahawa apa yang saya miliki kini adalah anugerah dari Allah Ta'ala.

InsyaAllah, saya akan kembali mencoret di sini selagi terdaya. Kerana saya yakin bahawa suatu tinta itu akan mentamsilkan apa yang terkandung di dalam kalbu. Moga-moga apa yang dizahirkan dari isi hati saya ini elok belaka dan bermanfaat buat semua. Saya bersedia untuk kembali beraksi!

Salam hormat dari saya,






Kapt Mohd Dhany bin Mohamad Sarip TUDM

Baca lagi!

20100127

Wahai Siswa, Beginilah Seharusnya kita!

Oleh: Kapt Mohd Dhany Mohamad Sarip TUDM (LL.B UIAM, Tahun 1 M.Ed Bimbingan dan Kaunseling UIAM)

Lega! Begitulah ekspresi majoriti siswa dan siswi apabila peperiksaan tamat. Cukup sudah tempoh yang cukup meletihkan selama satu semester, dengan hidangan bermacam subjek yang cukup mengenyangkan minda. Sepanjang minggu ulangkaji memang melelahkan. Namun nafas lega yang dihela itu tidak panjang tempohnya. Tanggal pengumuman keputusan peperiksaan benar-benar menyesakkan dada. Khususnya bagi yang terasa begitu asyik berpencak di gelanggang peperiksaan. Rasa-rasanya jurus yang dipelajari selama masa pertapaan sudah begitu banyak. Ditambah lagi dengan sesi ulangkaji dan latih tubi yang berulang-ulang, masakan tewas akibat keputusan yang diterima tidak memuaskan hati.

Lalu apabila gred yang dinantikan penuh debaran tiba di tangan, bagaimanakah agaknya kita reaksi terhadap ketentuan itu? Pastinya wujud emosi yang bercampur baur dan lebih menarik apabila perasaan ini diputuskan oleh paparan digit dan angka atas sekeping slip, yang kuasanya terlalu hebat hingga mampu untuk memandu tindakan pemiliknya. Ada yang memberi respon berlandaskan kebijakan, ada juga yang bertindak di luar kawalan. Pokoknya, nafsu yang nakal pasti akan menguasai rasional pemikiran jika tiada pedoman yang mengawal sikap manusia.

Wahai siswa dan siswi, penganut Islam yang taat! Begini seharusnya kita dalam menghadapi natijah yang dikirimkan oleh Allah Ta’ala. Jangan sekali-kali dimungkiri ketetapan yang diutuskan oleh Tuhan. Apa jua sekalipun keputusan peperiksaan yang diterima, adab-adab dengan Allah Azzawajalla tetap perlu dipelihara. Usah terlalu ghairah menurutkan hawa nafsu hingga tertonjol akhlak mazmumah, apalagi sampai menderhakai Tuhan. Kejayaan yang diiktiraf manusia tidak bermakna dijanjikan kemenangan di sisi Allah Ta’ala.

1. Sentiasalah bersangka baik dengan Allah Azzawajalla

"Mereka berprasangka yang tidak benar terhadap Allah, seperti prasangka jahiliyah; mereka berkata: ‘Apakah ada bagi kita sesuatu (hak campur tangan) dalam urusan ini.’ Katakanlah: ‘Sungguh, urusan itu seluruhnya di tangan Allah.” (Ayat 154, surah Ali Imran).

Ibnu Qayyim mentafsirkan ayat ini dengan membahagikan prasangka buruk terhadap Allah Ta’ala kepada tiga kategori, meliputi; menafikan adanya hikmah dari Tuhan, menolak takdir-Nya dan mengingkari bahawa agama Islam bakal dimenangkan oleh Allah Azzawajalla. Sedarilah bahawa tindakan menolak qada’ dan qadar Tuhan menjadikan individu tersebut tidak ubah seperti kelompok kafir sebagaimana yang dikhabarkan di dalam Al-Qur’an. Malah, turut menjejaskan kekukuhan tiang iman lantaran keingkaran terhadap salah satu rukunnya!

Demi menyelamatkan diri dari perbuatan yang membahayakan iman ini, solusi yang terbaik ialah dengan berusaha sedaya mampu untuk mengenal Allah Azzawajalla berdasarkan asma’ dan sifat-Nya yang tiada tara kemuliaannya. Betapa nama-nama Allah Ta’ala yang suci telah menggambarkan sifat Allah Azzawajalla sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Bukankah Tuhan telah menyediakan bermacam kurniaan untuk segenap makhluk ciptaan-Nya, lalu adakah semudah itu untuk kita mengingkari penghakiman Tuhan hanya kerana secebis markah peperiksaan? Inilah petanda kufur nikmat yang kian merajai diri.

Belajarlah untuk meredhai segala aturan Tuhan. Kita harus percaya bahawa setiap dugaan yang mendatang ialah ujian-ujian dari Tuhan dan pastinya di balik setiap ketetapan itu Allah Azzawajalla jauh lebih mengetahui akan baik dan buruk. Beban cubaan yang menimpa ini juga tidak sekali-kali melampaui kemampuan individu yang diuji. Yakinlah bahawa tribulasi yang berjaya ditempuh akan meninggikan darjat keimanan para hamba yang senantiasa berhajatkan mardhatillah. Tiap-tiap tangis sedih itu bakal digantikan dengan riang tawa ahlul Jannah jika sabar jadi perisainya.

2. Melakukan sujud syukur dan ibadah-ibadah sunat yang lain

Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam telah digambarkan sebagai hamba yang paling bersyukur, apabila Baginda bersolat sunat sehingga pecah kedua tumitnya. Lalu Baginda ditanya tentang amalannya yang sebegitu rupa, sedangkan dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang sentiasa diampunkan oleh Allah Ta’ala. Jawapan Baginda cukup mudah namun menggugah jiwa; “Tidakkah aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Sedangkan Rasulullah Sollahu ‘alaihi wassalam yang sudah terbina mahligai buatnya di Syurga beribadah sebegitu hebat, apatah lagi jiwa-jiwa yang masih belum diketahui nasibnya di akhirat kelak. Manifestasi syukur Baginda terlalu mengagumkan dan wajar diikuti oleh umatnya di setiap ketika, bukan hanya apabila suatu kesukaran datang merintangi. Seakan-akan telah wujud suatu persepsi tipikal bahawa amalan sunat hanya perlu digiatkan apabila musim peperiksaan makin hampir. Sujud syukur hanya akan dikerjakan hanya apabila gred yang diperolehi sejajar dengan apa yang dicita-citakan. Ini adalah anggapan yang tidak tepat dan perlu disingkir jauh-jauh.

Meningkatkan amal ibadah menjelang peperiksaan adalah sikap yang terpuji. Namun lebih terpuji jika rutin yang membuahkan pahala itu dilaksanakan secara berterusan biarpun selepas tamat peperiksaan. Malahan, hingga ke akhir hayat! Jadikanlah detik-detik getir peperiksaan yang mendekatkan kita dengan Tuhan sebagai satu permulaan untuk berbuat amal soleh, lalu diiringi dengan iltizam untuk beristiqamah sehabis mungkin mungkin.

Sama ada keputusan yang diterima itu memenuhi impian atau mungkin terdapat sedikit kurangnya, tetaplah mengerjakan sujud syukur. Juga puasa sunat yang berperanan untuk membersihkan kalbu. Tidak mendapat apa yang dicita-citakan bukanlah suatu alasan untuk meninggalkan amalan menyembah Allah Azzawajalla. Jangan sekali-sekali bersifat sombong dan seolah-olah merasakan ada kondisi yang mesti dipatuhi sebelum ibadah ditunaikan. Apabila hajat yang dikejari dimakbulkan, barulah dahi mencecah sejadah. Jika tidak, jauh sekali!

3. Elakkan dari sikap suka menyalahkan pihak lain

Lebih kritikal juga lain-lain pihak turut dibabitkan sebagai punca kegagalan di dalam peperiksaan. Lazimnya yang terlebih dahulu ‘disabitkan’ kesalahannya ialah pensyarah. Tuduhan yang cukup popular ialah pensyarah yang begitu tegas ketika menanda kertas jawapan atau dalam erti kata lain, kedekut markah! Lalu timbullah dosa-dosa yang lain angkara kejahatan lidah seperti mengumpat, mencela atau memburuk-burukkan pendidik yang hakikatnya tidak bersalah! Adakalanya, kawan-kawan turut menjadi mangsa. Konon-kononnya, tidak mahu berkongsi soalan yang ‘bocor’ atau mungkin juga menolak untuk berkongsi ilmu di dalam subjek yang tertentu.

Sememangnya tindakan yang zalim apabila pihak yang tidak tahu menahu diheret ke dalam kancah masalah. Apatah lagi jika masalah itu terjadi akibat kelalaian diri sendiri. Adalah tindakan yang kurang bijak jika kita enggan mengaku kelemahan sendiri, lalu memindahkan beban kesalahan itu ke atas bahu orang lain. Malahan, tindakan itu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Semailah rasa keinginan untuk berdikari dan berhentilah dari menuding jari dalam hal-hal berkenaan tanggungjawab sendiri.

Ayat 11, surah Ar-Ra’d ada menyatakan bahawa Allah Ta’ala tidak akan mengubah nasib suatu kaum, melainkan mereka sendiri yang mengubahnya. Sentiasalah berusaha untuk memperbaiki prestasi diri sendiri. Jika kita ingin berjaya, maka cubalah untuk mendapatkannya! Pastikan setiap langkah kita ditemani tawakkal secara total terhadap Allah Ta’ala. Harus diingat, hanya Tuhan yang mampu untuk mengurniakan kesejahteraan di dalam kehidupan. Pintalah semahu-mahunya menerusi do’a dan zikrullah. Jika ada lain-lain pihak yang masih dirasakan bersalah di dalam suatu hal, biarkan saja mereka dihakimi oleh Allah Azzawajalla.

4. Mengambil positif dari apa yang berlaku

Tidak mendapat keputusan yang memuaskan bukanlah suatu petanda bahawa hayat pengajian bakal terhenti di situ. Menangislah sepuas-puasnya setelah meneliti slip keputusan. Setelah puas teresak-esak, hentikan setakat di situ. Buang jauh-jauh perasaan sedih dan gantikannya dengan rasa kesal. Gantikan pula rasa kesal dengan keinginan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran. Hapuskan terus sebarang fikiran negatif yang bakal memakan diri sendiri. Sebaliknya, carilah sebanyak mungkin justifikasi positif demi membina diri. Lupakan apa yang telah berlaku kelmarin dan bukalah lembaran yang baru.

Meninggalkan peristiwa yang terdahulu tidak bermakna melarikan diri dari hakikat kebenaran. Realiti lampau masih perlu ditelan, namun perlu dilihat dari persepsi yang ada manfaatnya. Dikhuatiri jika kita terlalu mengenang kegagalan yang lepas, maka akan matilah semangat dan lenyaplah harapan yang langsung tidak membawa diri ke daerah yang lebih bercahaya. Pandanglah ke hadapan kerana jalan di hadapan masih luas terbentang. Esok dan lusa tetap setia menanti kehadiran jiwa-jiwa yang tidak tewas dengan kekalahan lalu. Inilah kekuatan seorang Muslim, tidak akan sekali-kali meratapi kekecewaan yang dialami. Lantaran keyakinan yang tinggi memuncak bahawa kita tidak pernah bersendirian sebab Allah Azawajalla sentiasa ada di sisi kita!

Allah Ta’ala mewahyukan di dalam ayat 155, surah Al-Baqarah bahawa cubaan dalam bermacam bentuk pasti akan ditimpakan kepada para mukmin, dan sampaikanlah berita gembira untuk orang-orang yang sabar. Sahutlah khabar yang mendamaikan kalbu ini dengan sepenuh hati, dan tetapkanlah diri dalam kesabaran. Jadikanlah kesilapan yang sudah sebagai pembangkit kekuatan untuk mengecapi kemenangan. Jangan sekali-kali berputus asa. Orang tua di kampung halaman akan terus menantikan kejayaan anak-anaknya yang ditatang dengan penuh kasih!

5. Beriltizam untuk berubah

“Orang yang beriman tidak akan disengat dua kali di lubang yang sama.” (Hadith riwayat Muslim). Benar, mukmin tidak wajar melakukan kesilapan yang berulang lantaran gagal untuk mengutip iktibar. Ambillah pengajaran yang lalu sebagai pelita untuk menerangi kegelapan di hari yang mendatang. Pancangkan tekad dan aturlah strategi secara sistematik demi meraih sukses di dunia dan akhirat. Jadikan bumi ini sebagai ladang tani amal-amal kebaikan, lalu kemanisan hasil cambahannya bakal dinikmati menjelang akhir zaman kelak.

Bangkitlah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menjana perubahan yang positif di dalam diri. Besarkan jiwamu, dan janganlah menyerah kalah. Biarlah tersadung sekali, tetapi jangan terus rebah. Tiada mengalah, berpantang undur. Pusatkan azam demi memartabatkan kedudukan agama di tahap yang tertinggi.

6. Istiqamah dan konsisten

Belajar turut dikira sebagai suatu ibadah umum, asalkan mematuhi syarat-syarat yang digariskan. Menurut Yusuf Al-Qardhawi, syarat pengiktirafan suatu amalan harian agar dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan adalah seperti berikut; diakui dan bersesuaian dengan hukum-hakam syarak, dilaksanakan dengan niat yang suci, perbuatan tersebut dilaksanakan dengan seelok mungkin, perlakuan amalan tersebut tidak melampau batasan ajaran agama dan tidak sekali-kali mencuaikan ibadah khusus dalam melaksanakan ibadah-ibadah umum.

Betapa Islam ialah suatu rahmat, hinggakan rutih dalam kehidupan dikira sebagai yang boleh menghampirkan kita dengan Allah Ta’ala. Sematlah selalu di benak, bahawa belajar merupakan suatu ibadah. Maka lakukanlah dengan sebaik mungkin, kerana pedomannya tersurat di dalam sebuah hadith; “Bahawa Allah suka apabila seorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” (Hadith riwayat Muslim). Allah Ta’ala juga mencintai amalan yang sedikit, namun dilakukan secara konsisten.

Maka, jika mahu tergolong di dalam kelompok yang disenangi Tuhan, buatlah suatu pekerjaan dengan baik, juga secara istiqamah. Jadilah seorang pelajar yang berusaha untuk cemerlang di dalam pelajarannya, dan tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jikalau dua nilai murni ini berjaya disebatikan di dalam diri, kejayaan hakiki pasti berada di dalam genggaman!

Baca lagi!

20091214

Bermula Semula..

Assalamu'alaikum warahmatullahi wa barakatuh dan selamat sejahtera kepada para pengunjung blog ini.

Alhamdulillah, setelah teratak ini ditutup buat sementara waktu; blog ini dibuka semula untuk tatapan umum. Namun atas sebab tertentu, entri-entri yang terdahulu telah dipadam semuanya. Habis saya 'bakulsampahkan', semua siap divakum. Heh. Saya mengidamkan penulisan yang lebih segar; dan sarat nilai-nilai untuk diterapkan dalam kehidupan seharian. Mana-mana karya yang saya rasa masih relevan, akan saya paparkan semula.

Moga-moga air tangan saya yang tidak seberapa ini bakal menjadi bekalan amal dalam menuju destinasi abadi, amin. Maka jika ada sebarang 'benda' yang mampu untuk saya beri, saya akan kongsikan. Beri, beri, beri dan terima. Jadilah individu yang berbudi dan berbakti; manusia yang menuntut haknya setelah menunaikan segala tanggungjawab.

Baca lagi!